Demam Kuning/Jaundis Pada Bayi
Lebih
kurang 50% ke 60% bayi yang lahir cukup bulan mengalami demam
kuning atau jaundis semasa minggu pertama hingga ke minggu kedua
selepas lahir. Ianya kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak
cukup bulan. Namun sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami
jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada setengah bayi, ia
berlaku sekejab, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang
dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia
boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian
Jaundis
boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih
dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan
jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin
menurun ke bahagaian bawah badan. Bayi jaudis juga akan kerap tidur.
Apakah penyebab jaundis
Jaundis
berlaku apabila bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul
di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan
kekuningan. Apabila sel darah merah dileraikan, ia menghasilkan
bilirubin. Semua darah mengandungi bilirubin dan kebiasaannya akan
diproses oleh hati dan disingkir melalui pembuangan najis dan air
kencing.
Ketika
bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi
apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri.
Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang
bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan.
Ini menyebabkan jaundis terjadi.
Biasa
berlaku dari hari pertama ke hari ke 4 mengikut jenis jaundis. Kadarnya
akan meningkat sehingga 12mg/dl dan boleh meningkat sehingga 15mg/dl.
Jika meningkat sehingga 20mg/dl perlu pengawasan yang rapi dari doktor.
Risiko adalah lebih tinggi untuk bayi mengalaminya jika mempunyai penyebab berikut:
- Bayi lahir pra matang
- Darah ibu dan bayi yang berlainan.
- Mempunyai adik beradik yang menghidap jaundis
- Mempunyai kesan lebam ketika lahir (sel-sel
darah merah ini adalah sebahagian dari lebam yang diuraikan dan menjadi
bilirubin sebahagian kumuhan)
- Etnik Asia
- Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran
Jenis-jenis jaundis
Adalah penting untuk mengenali jenis-jenis jaundis. Setiap jenis jaundis menyebabkan kesan dan mempunyai rawatan yang berbeza.
- Jaundis Normal/Physiologic
Biasa terjadi kepada bayi baru
lahir.Kadarnya adalah lebih tinggi berlaku pada ethnik tertentu seperti
Cina, Jepun, Korea (Asia). Bayi yang kurang menyusu beberapa hari
selepas dilahirkan dan tidak kerap membuang air besar juga mudah
mendapat jaundis. Apabila bilirubin berkumpul di dalam najis bayi dan
tidak dibuang, ia akan beredar kembali ke sistemnya. Kekerapan
membuang najis dapat merendahkan tahap bilirubin. Mula kelihatan selepas hari 2 - 4 selepas lahir dan biasanya hilang sendiri selepas 1 ke 2 minggu.
Bagi bayi yang kurang menyusu, ibu perlu mendapatkan nasihat cara dan
teknik untuk menyusu bayi dengan betul. Dengan penyusuan yang betul,
jaundis akan hilang.
- Jaudis Pathologic
Terjadi akibat keadaan perubatan
seperti berlainan jenis darah(kerap berlaku), kelahiran pra matang,
pembedahan caesarean, infeksi, kerosakan hati akibat rubella, siplis
atau toxoplasmosis. Bagi bayi dan ibu dari jenis darah berlainan kerap
berlaku bagi ibu berdarah jenis O atau Rh negatif. Ianya mula dikesan
dari hari pertama kelahiran dan meningkat dengan mendadak. Masalah Rh
juga pernah menyebabkan demam kuning yang teruk. Kini ia dapat
dielakkan dengan suntikan imunisasi Rh pada ibu dalam tempoh 72 jam
selepas kelahiran.
- Jaudis Susu Ibu
Ini berkemungkinan dari susu ibu
yang terhasil menyebabkan kelewatan atau memanjangkan tempoh membuangan
lebihan bilirubin melalui usus. Ia bermula dari hari ke minggu ke 2 dan
hilang selepas 3 hingga beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian.
Walaupun mendapat susu yang mencukupi bayi masih mendapat
jaundis. Jika kadar bilirubin meningkat, doktor anda mungkin
menasihatkan untuk memberhentikan penyusuan badan selama 2 ke 3 hari.
Dalam masa itu, anda bolehlah memerah susu bagi mengekalkan bekalan
susu dan boleh meneruskan penyusuan apabila tahap bilirubin menurun.
Rawatan
Pemeriksaan akan dibuat dengan menekan kulit bayi atau mengambil darah
bayi untuk mengukur tahap bilirubin bayi. Untuk memeriksa sendiri, bagi
kulit bayi berkulit cerah, boleh diletakkan di tempat banyak cahaya
atau lampu. Tekankan kulit secara lembut dengan jari anda di bahagian
hidung, dahi atau dada, jika terdapat kesan kekuningan apabila jari
diangkat bermakna bayi anda mengalami jaundis. Bagi bayi berkulit
gelap, boleh periksa gusi atau mata putih. Jika tahapnya didapati
tinggi, bayi perlu diberikan rawatan.
Biasanya tidak memerlukan rawatan. Jika memerlukan rawatan,
rawatan yang dibuat ialah menggunakan phototerapi iaitu
menggunakan cahaya. Bayi dibogelkan, mata ditutup dan diletakan dibawah
cahaya 'bililight'. Rawatan ini diteruskan sehingga tahap bilirubin
menurun. Kini rawatan ini boleh dilakukan di rumah.
Jika ditahap yang terlalu tinggi, penukaran darah akan dilakukan.
- Jaundis Normal/Physiologic
Kebanyakan kes jaundis ini tidak
memerlukan rawatan phototerapi. Berikut disenaraikan langkah yang boleh
dibuat untuk mengelak atau merawatnya.
- Menyusukan bayi dari awal dan dengan kerapnya. Kolostrum
akan bertindak sebagai laxative dan kekerapan membuang najis akan
merendahkan tahap bilirubin. Perhatikan pengeluaran air kencing dan
najis.
- Elakan mengambil air tambahan. Hanya 2% bilirubin keluar
melalui air kencing dan 98% keluar melalui najis. Kolostrum dan susu
yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan membuang air
besar. Jika bayi anda kenyang dengan air dia akan kurang menyusu.
- Galakan bayi anda berjaga dan menyusu setiap 2 jam. Jaundis menyebabkan bayi anda mengantuk.
- Jika bayi anda tertidur ketika menyusu badan dan membuang
air besar kurang dari 3 kali sehari, cuba perah susu anda menggunakan
tangan atau pam. Dan berikan menggunakan cawan, sudu atau syringe.
Jangan menggunakan botol kerana bayi anda akan keliru dengan puting
getah ketika peringkat ini.
- Dedahkan kepada cahaya secara tidak terus. Buka pakaian dan
diaper dan letak di dalam bilik yang terdapat banyak cahaya. Kulitnya
adalah sensitif jangan diletakan secara terus kepada cahaya.
- Elakan ubatan seperti aspirin dan dadah sulfa. Pastikan
doktor anda tahu dadah yang anda ambil, jadi anda boleh hentikan atau
mencari penganti yang lain jika ubat adalah penyebabnya
- Jaundis Pathologic
Bayi perlu mendapat rawatan
segera. Penyusuan badan perlu diteruskan. Kolostrum dan susu yang
diterima akan membantu pembuangan najis dan mempercepatkan pengeluaran
bilirubin. Bayi yang sakit memerlukan lebih susu badan berbanding bayi
yang sihat. Dalam kes tertentu bayi akan perlu menjalani penukaran
darah. Ini adalah langkah paling cepat dan perlu jika bayi
mencapai tahap tertentu melebihi 26mg/ld. Namun kurang dilakukan kerana
proses phototerapi biasanya mujarab. Bayi akan mengantuk dan lemah
untuk menyusu. Anda mungkin memerlukan pam untuk memastikan bekalan
susu mencukupi untuk bayi anda.
- Jaundis Susu Ibu
Penyebabnya kurang dapat
dipastikan. Bayi boleh diberi susu formula buat seketika. Biasanya
tahapnya akan turun dan meningkat semula apabila menyusu badan. Namun
anda tidak patt memberhentikan penyusuan badan kerana susu badan adalah
susu yang terbaik.
Adakah ianya merbahaya?
Kebanyakan kes jaundis tidak merbahaya. Namun jika tahapnya
adalah tinggi dan dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan
kekal ke atas sistem saraf. Ia boleh menyebabkan pekak dan pertumbuhan
yang lembab dan membentuk cerebral palsy.
Jika bayi anda mendapat jaundis dalam masa 24 jam selepas lahir, ini
dianggap serius dan perlu pemerhatian rapi dan rawatan. Ia boleh
disebabkan oleh masalh yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan
intestinal, infeksi atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pra
matang sebelum 28 minggu.
Bayi yang menghidap jaundis perlu mendapat susu yang cukup untuk mengelak menjadi kekeringan.