News Update :

Tawakal Kepada Allah

Friday, November 11, 2011

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh3-7YdNSt2MRtp48D34TsFKubjBgAl0VGJrk5WtLIj-GfaFijULJ2PH1_UJ64_SSfWPl7wJv2TlQub1DA1CrzFtwSwKaa9aKx6bIOA-fP4ss9OfDLesUlDJ9Pt7nFC4zV9p_h10FIrgtcV/s1600/malu-itu-baik.jpg

Soalan :

Assalmu'alaikum, ustaz...minta perjelaskan, soal tawakal...masih ramai yg anggap, usaha dulu kemudian baru tawakal! Dan meletakkan hadis sbg hujah...
Jawapan :

Tawakal berasal dari perkataan “wakalah” yang bererti memilih wakil. Kita mengetahui bahawa kredibiliti seorang wakil yang baik boleh dilihat, paling tidak dari empat sifat, iaitu pengetahuan yang cukup, kepercayaan, mempunyai kemampuan, dan penuh perhatian.

Jelas bahawa memilih seorang wakil untuk sebuah pekerjaan dilakukan ketika seseorang tidak mempunyai kemampuan lagi untuk bertahan. Pada saat inilah ia boleh mengunakan kekuatan orang lain untuk membantunya dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya.

Oleh kerana itu, tawakal kepada Allah swt. tidak mempunyai maksud lain, kecuali bahawa manusia menjadikan Allah sebagai wakilnya dalam menghadapi persoalan, musibah, musuh, para penentang, dan masalah-masalah yang sedang dihadapinya. Ketika seseorang telah sampai pada jalan buntu dalam upaya mencapai tujuan dan tidak mempunyai kemampuan lagi untuk menyelesaikan dan memecahkan persoalannya, ia akan menyandarkan diri kepadaNya dengan tanpa menghentikan usahanya. Bahkan, ia sendiri mempuyai kemampuan untuk melakukan pekerjaannya, ia tetap menganggap bahawa faktor utama yang boleh menyelesaikan masalahnya adalah Allah swt sahaja. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq : 3)

Tawakal merupakan salah satu cara yang dikurniakan oleh Allah swt kepada hamba-hambaNya dalam mereka mencari jalan dalam mencapai sesuatu. Tawakal ini adalah satu elemen yang penting dalam kehidupan seorang Muslim. Rasulullah saw bersabda :
"Jika kamu bertakwa kepada Allah dengan sebenar-sebenar tawakal, maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung, pagi-pagi keluar sarang dalam keadaan lapar, dan petang hari pulang ke sarang dalam keadaan kenyang." (At Tarmizi, Ahmad, Ibnu Majah)

Ramai umat Islam sekarang ini tersalah faham tentang konsep tawakal, ada yang bertawakal sebelum berusaha dan ada juga yang bertawakal tanpa usaha dahulu. Contohnya seorang pelajar hanya berdoa dan bertawakal sahaja kepada Allah supaya ia lulus dalam peperiksaannya tanpa berusaha. Ini pasti tidak akan lulus dalam peperiksaan. Ataupun parking kereta tanpa kunci dan kuncinya ditinggalkan di suisnya dan bertawakal kepada Allah, ini juga pasti hilang. Kemudian mereka ini menyalahkan Allah dengan mengatakan Allah tiada kuasa, Allah tak dengar tawakalnya dan sebagainya. Inilah yang dikatakan umat Islam yang jahil tiada ilmu dalam mengerjakan sesuatu.

Tetapi berlaku juga kepada orang yang berusaha, berdoa dan bertawakal dalam usahanya itu, tetapi tetap tidak berjaya dan Allah tidak memberikan kejayaan kepadanya. Hal ini perlu kita cermin dahulu diri kita, adakah usaha kita mencukupi atau kita abaikan ibadah-ibadah wajib, sering melakukan dosa atau sebagainya. Sebab itulah tawakal kita perlu bersama dengan redho dan sabar dengan apa yang akan diberikan oleh Allah. Orang yang bersabar itu adalah orang yang mempunyai iman dan keyakinan akan kekuasaan Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud :
“Bersabar itu separuh daripada iman”.
Konsep tawakal

Ibnu Rajab Rahimahullah dalam Jami’ul Ulum wal Hikam berkata :
“Tawakal adalah penyandaran hati pada Allah untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia maupun akhirat, menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata.”

Perlu diketahui bahawa tawakal bukanlah hanya sikap bersandarnya hati kepada Allah semata-mata, namun disertai juga dengan melakukan usaha.

Ibnu Rajab berkata lagi :
“menjalankan tawakal tidaklah berarti seseorang harus meninggalkan sunnatullah yang telah ditetapkan dan ditakdirkan. Kerana Allah memerintahkan kita untuk melakukan usaha, sekaligus juga memerintahkan kita untuk bertawakal. Oleh kerana itu, usaha dengan anggota badan adalah termasuk ketaatan kepada Allah, sedangkan tawakal dengan hati merupakan keimanan kepadaNya.”

Sahl At Tusturi berkata bahawa :

“Barang siapa mencela usaha (meninggalkan sebab), maka dia telah mencela sunnatullah (ketentuan yang Allah tetapkan). Barang siapa mencela tawakal (tidak mau bersandar pada Allah), maka dia telah meninggalkan keimanan.”
Penutup

Sebagai umat Islam yang taat kepada Allah, maka berusahalah dengan kekuatan, tenaga dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah, selarikan berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, supaya Allah memudahkan dan memberikan kejayaan atau hasil segala usaha kita. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Barang siapa yang berusaha dia akan berjaya”.


Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright Inilah Duniaku! 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.